Thursday, July 19, 2012

Ramadhan datang lagi..

Sedar tidak sedar, kita telah pun berada di penghujung Bulan Syaaban iaitu bulan kedua selepas Bulan Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Seperti yang kita tahu, apabila berakhirnya bulan Syaaban, maka datanglah satu bulan yang dipanggil 
Bulan Keampunan dan Keberkatan iaitu Bulan Ramadhan.
Di dalam Bulan Ramadhan, apa saja amalan yang kita lakukan akan digandakan pahalanya.
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Alhamdulillah diri ini masih diberi kesempatan oleh Allah untuk berada di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Itu tandanya Allah masih menyayangiku. Allah masih beri aku peluang untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas dosa-dosaku yang lalu. Dalam Bulan Ramadhan, segala amalan akan digandakan. Malah Allah juga akan bukakan pintu-pintu keampunan seluas-luasnya.

Hasrat hati ini terlalu tinggi. Sudah lama rasanya tidak berpeluang menyambut Ramadhan sepenuhnya bersama mak dan abah di kampung. Namun pada tahun ini, aku menyimpan hasrat yang terlalu tinggi. Aku ingin berada sebulan Ramadhan di kampung bersama mak dan abah tanpa ada komitmen dunia yang lain selain menjalankan tanggungjawab sebagai anak. Ingin melalui Ramadhan hanya sebagai hamba Allah, anak kepada kedua orang tuaku dan juga khalifah di muka bumi.
Hati ini juga sangat teringin merasai betul-betul kemanisan berada di Bulan Ramadhan. Ingin betul-betul merasai keberkatannya. Ingin juga seperti orang lain. Tidak sabar menanti kehadirannya dan menangisi pemergiannya.

Semoga Allah beri aku kesempatan ini dan Semoga Allah jua permudahkan langkahku ini. Amin

No comments:

Post a Comment



Popular Posts